Tuesday, 21 June 2016

SEJARAH JATA NEGARA

                                           



JATA NEGARA





Jata Negara Malaysia merupakan lambang rasmi Kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Lambang Malaysia menunjukkan Bintang Pecah 14 menandakan :
  • 13 buah negeri terkandung dalam Persekutuan Malaysia
  • Kerajaan Persekutuan. 
Bintang dan anak bulan melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. 

Lima bilah keris menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu :
  • Johor
  • Kedah
  • Perlis
  • Kelantan
  • Terengganu

Bahagian sebelah kiri perisai dengan simbol pokok pinang melambangkan Negeri Pulau Pinang.

Bahagian sebelah kanan perisai dengan simbol pokok Melaka melambangkan Negeri Melaka.

Kedua-dua buah negeri itu adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat pada masa tersebut.

Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna. 

Empat jalur yang sama besarnya di bahagian tengah perisai menandakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal:

WARNA BENDERA
NEGERI
Hitam, Putih dan Kuning
Perak
Merah dan Kuning
Selangor
Hitam dan Putih
Pahang
Merah, Hitam dan Kuning
Negeri Sembilan


Tiga bahagian di sebelah bawah menandakan :
  • Di sebelah kiri : Negeri Sabah 
  • Di sebelah kanan : Negeri Sarawak  
  • Di tengah : Bunga Raya – Bunga Kebangsaan. 
Dua ekor harimau adalah lambang keberanian ditunjukkan
 sebagai penopang jata Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dipakai dalam Lambang Malaysia.

Warna kuning pada awan-awan ialah warna Diraja Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Cogan - BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU. Cogan ini berperanan selaku menyeru seluruh warganegara untuk bermuafakat. Pembentukan Malaysia yang gemilang adalah disebabkan wujudnya kerjasama dan permuafakatan antara pemimpin dengan pemimpin dan antara pemimpin dengan rakyat. Permuafakatan ini wajar dicontohi oleh kita.


SIMBOL DAN MAKNA



1) PULAU PINANG



Pokok Pinang dan Jambatan Pulau Pinang mewakili Negeri Pulau Pinang.

  • Pohon Pinang (Areca catechu) ialah tanda asal nama pulau itu. 
  • Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. 
  • Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. 
  • Empat kabel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.
  • Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima.
  • Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang..


2) MELAKA




Pokok Melaka mewakili Negeri Melaka.

  • Warna merah, putih, kuning dan biru bermakna Melaka adalah sebuah negeri dalam Malaysia.
  • Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka, pada zaman dahulu.
  • Anak bulan dan bintang pecah lima tanda Agama Islam, agama rasmi negeri.
  • Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya.
  • Dua ekor pelanduk yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelanduklah yang telah menyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.
  • "BERSATU TEGUH" ialah cogan kata negeri


3) SABAH



  • Lambang Negeri Sabah terdiri dari dua bahagian iaitu atas yang berupa dua lengan berwarna kuning sedang menjulang Bendera Negeri yang terletak di atas satu susunan lima warna Negeri iaitu biru zirkon, merah cili, putih, biru salji dan nilakandi. 
  • Di bawahnya iaitu tubuh utama lambang ini yang berbentuk sebuah perisai. 
  • Bahagian atas perisai ini tersusun tiga warna Negeri iaitu biru zirkon, putih dan merah cili dalam bentuk V.
  • Bahagian bawah perisai ini terdapat bentuk Gunung Kinabalu berwarna nilakandi yang berlatarbelakangkan warna biru salji. 
  • Perisai itu dipangku oleh sehelai skrol berwarna merah yang tertulis dengan cogankata negeri Sabah "Sabah Maju Jaya" berwarna putih.
  • Dua lengan yang menjulang Bendera Negeri itu melambangkan perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat berbagai kaum di negeri ini ke arah kemajuan dan kejayaan.
  • Lima warna yang tersusun itu bermakna lima buah Bahagian Pentadbiran Negeri Sabah.
  • Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman.
  • Warna putih melambangkan kemurnian dan keadilan. 
  • Warna merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. 
  • Warna biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama. 
  • Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.



4) SARAWAK



  • Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang: Terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha,berpandukan ideologi "politik pembangunan".
  • Lencana negeri ini juga boleh membezakan keunggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.
   
    
5) SELANGOR



  • Anak bulan dan bintang adalah tanda Agama Islam, agama negeri. 
  • Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. 
  • Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang.
  • Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri.
  • Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri.
  • Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu



6) KEDAH




  • Lengkaran itu maksudnya padi, tanaman utama negeri ini. 
  • Anak bulan tanda Agama Islam.
  • Perisai pula tanda kekuasaan.


7) PERAK



  • Aigrette di-Raja sebagai tanda kedaulatan Raja Pemerintah. 
  • Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai Agama rasmi. 
  • Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapat 9 daerah dalam Negeri perak. 
  • Pedang Kerajaan - bernama Cura Si Manja Kini (melambangkan kekuasaan)
  • Cogan kata "Allah Peliharakan Sultan Perak" - doa rakyat kepada Sultan Pemerintah Negeri.
  • Bunga Padi melambangkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri



8) PERLIS




  • Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. 
  • Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu.
  • Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.



9) NEGERI SEMBILAN



  • Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama.
  • Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British. 

  • Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang.
  • Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar.
  • Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. 
  • Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan
  • Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda kebesaran Yang di-Pertuan Besar.


10) JOHOR




  • Mahkota tanda D.Y.M.M Raja.
  • Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri Johor, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau.
  • Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam.
  • Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. 
  • Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai menggambarkan Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini. 
  • Cogan kata negeri ini ialah:- "KEPADA ALLAH BERSERAH"



11) PAHANG



  • Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran. Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyhur yang utama di Negeri Pahang. Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas.
  • Gading yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. 
  • Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah lembut. Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan. "Ya La Tif" juga dijadikan azimat yang berguna



12) TERENGGANU






  • Bulan bintang menunjukkan negeri Islam
  • Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. 
  • Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri.
  • Manakala di sebelah kanannya ialah Al-Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri.
  • Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan.
  • Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.



13) KELANTAN




  • Mahkota itu tanda Kedaulatan Sultan.
  • Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan
  • Anak Bulan dan  Bintang adalah tanda Islam.
  • Dua laras meriam itu maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. 
  • Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarahtua negeri ini di masa Che' Wan Kembang (Che'Siti) Permaisuri Kelantan ( kira-kira pada akhir kurun ke-14) yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu. 
  • Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan"




Akhir kata, kesimpulannya adalah, sebagai Warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu memahami dan menghayati makna lambang-lambang pada Jata Negara.  Kita juga mestilah menghormati Jata Negara sebagai lambang permuafakatan.



TAHUKAH ANDA ?

  • Empat buah negeri yang diwakili oleh warna bendera pernah menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
  • Lima buah negeri yang diwakili oleh keris pernah menjadi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.


 **rujukan: http://endahtakendah.blogspot.my/



No comments:

Post a Comment